• Mohammed Hafiz Rosli

ADAKAH ANDA BERSEDIA UNTUK BERSARA?


Setelah berpuluh tahun berhempas pulas mencari rezeki demi kelangsungan hidup, sudah tentu hari persaraan tatkala umur menjangkau 55 atau 60 tahun adalah sesuatu yang dinantikan. Selepas bersara, anda boleh menikmati hidup yang yang lebih tenang tanpa terikat dengan kesibukan kerjaya. Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan simpanan yang mencukupi adalah sangat penting agar anda boleh bersara tanpa sebarang kebimbangan, lebih-lebih lagi dengan perbelanjaan hidup yang kian meningkat. Menurut kajian daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), majoriti ahlinya mempunyai purata simpanan berjumlah RM50,000 dan akan menggunakan keseluruhan wang simpanan dalam tempoh yang singkat. Hal ini menjadikan pesara berdepan masalah kewangan apabila memerlukan dana untuk perbelanjaan perubatan mahupun kos sara hidup. Oleh sebab itu, anda perlu membuat persediaan awal, merancang perbelanjaan serta menyediakan simpanan yang mencukupi. Ikuti beberapa tips mudah berikut yang dapat membantu anda menghadapi hari persaraan kelak:


1. ASINGKAN SEBAHAGIAN PENDAPATAN UNTUK ‘TABUNG PERSARAAN’

Anda disarankan untuk mengasingkan antara 10 ke 20 peratus daripada gaji bulanan anda untuk hari persaraan. Kebanyakan daripada kita berpendapat bahawa hari persaraan masih jauh dan masih mempunyai masa untuk menabung. Disebabkan itu, ramai yang cenderung berbelanja tanpa berfikir panjang. Bagaimanapun, kesedaran awal adalah lebih baik kerana kita tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Lebih awal anda menyimpan, sudah tentu jumlahnya akan dapat membantu anda menempuh hari-hari persaraan dengan lebih tenang. Sebagai contoh, jika anda memulakan tabung persaraan pada usia 35 tahun dengan pendapatan bulanan RM3,500, anda boleh mengasingkan RM350 sebulan (10 peratus gaji bulanan). Dengan itu, apabila bersara pada usia 60 tahun, wang dalam tabung persaraan anda telah mencecah RM105,000 dan sudah tentu memudahkan anda menjalani alam persaraan.



Setiap individu mempunyai gaya hidup yang berbeza dan tersendiri mengikut kemampuan masing-masing.  Untuk hari persaraan yang lebih sistematik, anda perlu mengetahui kos perbelanjaan hidup semasa terutamanya komitmen bulanan jangka panjang seperti pinjaman perumahan, kereta, insurans, pendidikan dan lain-lain. Pastikan komitmen bulanan anda berkurangan menjelang tempoh persaraan. Seboleh-bolehnya, elakkan komitmen yang tinggi mahupun membuat pinjaman baru jika tempoh bekerja anda hanya berbaki 5 ke 6 tahun sahaja. Apabila komitmen anda berkurangan, wang persaraan anda boleh digunakan untuk perkara lain misalnya percutian idaman bersama keluarga tersayang.


3. KENAL PASTI MATLAMAT PERSARAAN ANDA


Mungkin apabila bersara nanti, anda memerlukan wang untuk menyara kehidupan seharian anda sahaja, namun ada juga yang memerlukan peruntukan untuk menampung perbelanjaan perubatan dan membayar hutang-hutang yang masih berbaki. Selain itu, ada juga yang perlu menggunakan wang persaraan untuk perbelanjaan-perbelanjaan besar seperti membina atau mengubahsuai rumah, menunaikan haji, melancong dan menampung perbelanjaan anak-anak yang masih belajar. Oleh itu, amat penting untuk anda menentukan apa yang mahu anda lakukan selepas bersara nanti. Sekiranya sudah jelas, anda tidak akan membuang masa dan akan memastikan wang persaraan anda disalurkan ke haluan yang tepat mengikut  kehendak anda.


4. BEKERJA SELEPAS BERSARA ATAU TIDAK?


Walaupun telah bersara, namun ada sesetengah individu yang masih mahu bekerja atas sebab tertentu. Berdasarkan kajian Merrill Linch dan Age Waved, seramai 7 daripada pesara mahu terus bekerja. Ini mungkin kerana mereka mahu mengisi masa lapang atau menampung perbelanjaan harian. Sekiranya anda ingin terus bekerja, gunakan kepakaran atau kemahiran anda untuk  menjana pendapatan. Anda boleh melakukan kerja dari rumah seperti menjahit, menulis, dan bertukang atau menjadi konsultan kepada organisasi yang masih memerlukan kepakaran anda. 


5. DAPATKAN PERLINDUNGAN INSURANS KESIHATAN


Sudah menjadi lumrah apabila usia seseorang meningkat, tahap kesihatan juga tidak lagi pada tahap yang optimum. Oleh itu, anda mungkin kerap berulang alik mendapatkan rawatan di klinik mahupun hospital. Amat penting untuk anda melengkapkan diri dengan insurans perubatan secukupnya yang memberikan anda perlindungan melangkau tempoh persaraan.

Mengikut kajian, rakyat di negara ini secara puratanya mampu hidup sehingga usia 80 tahun. Oleh itu, anda disarankan mendapatkan insurans yang dapat membantu membiayai perbelanjaan perubatan anda melebihi umur 80 tahun. Pastikan juga insurans tersebut melindungi penyakit-penyakit kritikal dan manfaat-manfaat unik yang dapat digunakan sepanjang usia emas anda.

Sesetengah pelan insurans juga memberikan pulangan kewangan setelah polisi matang mahupun tamat tempoh. Melaburlah dengan lebih awal dalam pelan-pelan seperti ini kerana sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban kewangan anda sekaligus menjalani tempoh persaraan dengan lebih tenang.

7 views0 comments

Recent Posts

See All